Saturday, 19 September 2015

Sebiru Warna Langit (Bahagian 4)



Bahagian 4




Aku bergegas masuk ke wad. Tadi sebaik aku sampai ke rumah, jiranku, Mak Som memberitahu yanag nenek Ammar sudah sedarkan diri. Mataku melilau mencari kelibat Ammar dan neneknya. Seketika kemudian aku tersenyum. Mereka telahku temui. Perlahan aku mengampiri mereka.

“Assalamuaikum.” ucapku. Ammar dan neneknya menoleh serentak ke arahku. Aku melemparkan senyuman.

“Cikgu!” Ammar lantas menyalamiku sebelum menarikku menghampiri katil neneknya.

“Nenek, inilah Cikgu Kamal.” ujar Ammar ceria. Aku sedikit terkesima. Inilah kali pertama aku melihat Ammar seceria itu. Nenek Ammar tersenyum padaku.

“Mak Cik apa khabar?” soalku mesra.

“Baik, Alhamdulillah. Jadi inlah dia jiran baru mak cik tu ya.” ujarnya. Aku tersenyum.

“Ammar, kamu belum solat lagi kan? pergi solat dulu ya.” ujar Nenek Ammar perlahan.

“alah, kejap lagi la nek, banyak benda Ammar nak cerita kat nenek ni!!”

“Ammar, pergi solat dulu, nanti cerita lagi ya, nenek tak kemana pun, nenek kat sini je.” pujuk nenek Ammar. Aku tersenyum. Jelas terpancar kasih sayang antara mereka.

“Yalah, yalah.”Ammar akur.

“Cikgu duduk sini dulu ya, jangan balik dulu tau!” ujar Ammar lagi sebelum pergi. Aku melihat Ammar pergi hinggalah dia hilang dibalik pintu wad.

“Cikgu, duduk dulu cikgu.” jemput nenek Ammar. Aku tersenyum dan duduk di bangku di tepi katil.

“Seronok betul Ammar tu.” ujarku. Nenek Ammar tersenyum.

“Ammar tulah satu-satunya cucu yang mak cik ada. Nenek masih boleh duduk bersembang macam ni pun sebab si Ammar tulah. Doktor cakap, daripada keadaan mak cik masa mak cik mula-mula masuk dulu, mak cik dah macam tak ada harapan. Tapi tulah, semangat mak cik kuat. Ammar tulah semangat mak cik. Mak cik tak sampai hati nak tinggal dia seorang-seorang. Dia kecil lagi.” cerita Nenek Ammar.

“Maaf mak cik saya tanya, ibu bapa Ammar tu dimana?” soalku. Nenek Ammar tersenyum.

“ayah dia dah meninggal, masa dia kecil lagi.”

“ibu dia?” soalku lagi. Raut wajah nenek Ammar berubah.

“maaf mak cik kalau saya tersinggung perasaan mak cik.” nenek Ammar tersenyum.

“Keluarga ibu si Ammar tu dulu kaya, tapi dah jodoh, dia suka pada anak Mak cik, ayah Ammar. Seperti yang cikgu nampak, kami ni orang susah, keluarga ibu Ammar ni tak restu hubungan itu. Macam-macam halangan diterima oleh mereka. Tapi bila dah jodoh, akhirnya mereka berkahwin juga, keluarga ibu Ammar tu membuang dia. Tak lama selepas tu, dia mengandungkan si Ammar tu. Tapi dia memang lebih sayangkan suami dia dari anak dia tu. Sampai hari dia nak bersalin, ayah si Ammar tu bergegas ke hospital dari Johor sebab dia dah janji nak temankan ibu Ammar di dewan bersalin. Tapi, fitrah kita manusia tak dapat menentang qada’ dan qadar Allah, ayah Ammar tu terlibat dalam kemalangan. Dia meninggal di tempat kejadian.” air mata nenek Ammar mula melinang.

“Cikgu sendiri tahukan, emosi orang baru bersalin ni tak stabil. Dia meroyan bila dia dapat tahu pasal kematian ayah Ammar tu. Dia jadi tertekan. Dia salahkan Ammar sebabkan kematian suami dia. Mak Cik dah cuba serahkan Ammar pada dia, tapi dia tak boleh terima. Dia akan mula meracau-racau setiap kali melihat Ammar. Keluarga ibu Ammar datang pada Mak cik, dia cakap, dia mahu bawa ibu Ammar tu kembali ke Pahang. Mak Cik bersetuju, tapi kerana ibunya masih tak boleh terima Ammar, mak cik buat keputusan untuk menjaga Ammar. Sehingga sekarang, mak cik langsung tak terima sebarang khabar dari mereka.” cerita Nenek Ammar lagi.

“habis tu, Ammar tak pernah tanya ke pasal ibunya?” soalku lagi.

“dulu masa dia kecik pernah dia tanya. Tapi Mak cik marah dia. Mak cik tak tahu macam mana nak terangkan pada dia. Sejak dari tu sampai sekarang dia tak pernah tanya lagi. Mak Cik tak sampai hati nak cerita perkara sebenar. Cikgu boleh bayangkan kan, bagaimana rasa kalau ibu kandung kita sendiri tak boleh terima kita. Mak cik tak sampai hati nak biar dia rasa perasaan tu.” cerita Nenek Ammar lagi. Benar kata nenek Ammar tu.

“tapi, Ammar tu masih betuah sebab dia masih ada mak cik yang sayangkan dia.”ujarku pula. Nenek Ammar tersenyum.

“Tapi sampai bila cikgu?, mak cik ni dah tua. Bila-bila masa sahaja Allah tu boleh tarik balik nyawa mak cik ni. Tengokla ni ha, mak cik terlantar kat hospital macam ni. Mak cik sebenarnya risau dengan Ammar tu, bila mak cik dah tak ada nanti, macam mana la nasib dia.”

“Mak cik jangan risau, Ammar tu tahu bawa diri.” ujarku cuba menenangkannya.

“Cikgu, Ammar tu dah tak ada sesiapa. Kalau mak cik dah tak ada nanti, memang dia tinggal seorang-seorang.” ujar nenek Ammar sebelum dia terhenti seketika.

“Sejak dia datang tadi, macam-macam dia cerita mengenai cikgu. Nampaknya dia betul-betul senang dengan cikgu. Sejak dari sekolah rendah lagi, Ammar tu dibuli, diejek dengan kawan-kawan dia. Sebab tu dia memang susah nak rapat dengan orang walaupun dia nampak peramah. Dia tu banyak memendam rasa cikgu. Mak cik tahu apa yang jadi kat dia di sekolah, dia dibuli, dipukul, diejek, tapi dia tak pernah mengadu pada mak cik. Semua dia pendam sendiri. Dia selalu tersenyum, nampak macam gembira, tapi dalam hati dia, dia menangis cikgu! mak cik tahu semua tu. Bila mak cik tanya, mesti dia berdalih. Tapi mak cik tahu, sebenarnya dia tak mahu buat mak cik susah hati. Dia tak nak buat mak cik sedih.” cerita nenek Ammar lagi dengan linangan air mata.

“Sabar Mak cik.”

“Ammar tu budak baik cikgu, mak cik sayang sangat pada dia.”

“Saya tahu Mak cik.”

“Cikgu, mak cik tahu permintaan mak cik ni menyusahkan cikgu, tapi mak cik rasa cikgulah orang terbaik untuk jaga Ammar tu nanti, cikgu, mak cik minta tolong, kalau terjadi sesuatu pada mak cik, tolong jaga Ammar ya. Dia dah tak ada sesiapa lagi. Tolong ya cikgu..” Nenek Ammar separuh merayu.

“Mak cik, mak cik kan dah sihat ni, bila-bila masa je mak cik dah boleh keluar dari hospital ni.” ujar ku. Jelas terpancar riak wajah kecewa pada wajah nenek Ammar.

“Mak cik, bukan saya tak nak jaga dia, Saya sendiri dah anggap Ammar tu macam adik kandung saya sendiri, tapi Mak cik dah sihat. Saya yakin tak akan ada apa-apa yang berlaku pada mak cik, mak cik akan keluar tak lama lagi.” aku cuba meyakinkan nenek Ammar yang bukan aku tak mahu menunaikan permintaannya itu. Nenek Ammar tersenyum hambar padaku.




“Ammar, nanti sekejap.” panggilku sebelum sempat Ammar masuk ke dalam rumahnya. Ammar memandangku.

“Ammar, kenapa sejak belakangan ni kamu asyik nak mengelak dari saya?!” soalku berterus terang.

“mengelak? mana ada cikgu. Saya biasa-biasa je.” ujarnya selamba.

“ni mesti sebab khabar angin yang tengah tersebar di sekolah tu kan?” dugaku.

“khabar angin apa cikgu?” Ammar cuba berdalih.

“Ammar, sudahlah tu. Jangan berdalih lagi. Saya tahu, kamu tak nak dekat dengan cikgu lagi sebab khabar angin tukan? kamu takut dengan saya kan? Ammar, saya bukan macam tu, saya tak akan buat…”

“Cikgu!, apa cikgu ni? saya tahu cikgu, cikgu memang tak akan buat macam tu, saya tahu.” pintas Ammar dengan suara sedikit keras. Aku terkesima. Ammar tidak pernah begitu sebelum ni.

“Saya masuk dulu.” ujar Ammar dengan suara sedikit bergetar. Namun belum sempat Ammar meloloskan diri dibalik pintu, aku lantas menarik lengannya menghalangnya daripada masuk.

“Tolong Ammar, tolong jangan buat macam ni. Dulu kamu yang cakap telinga kamu dah lali dengan ejekan, hinaan yang macam ni. Tapi sekarang..”

“Saya buat macam ni demi cikgu. Saya memang dah lali dengan semua ni, tapi cikgu? boleh ke cikgu tahan dengan semua ni?” Ammar memintas kata-kataku lagi. Sekali lagi aku tersentak.

“Ammar..”

“Cikgu, saya tak nak kerana saya, cikgu dapat susah. Jadi saya rasa lebih baik cikgu jangan dekat sangat dengan saya. Cukuplah hubungan kita sebagai guru dan anak murid.” ujar Ammar lagi. Aku terkesima. Ammar kelihatan betul-betul serius. Senyumannya yang selalu menghiasi wajahnya kini tiada.

“Sa…saya masuk dulu.” Ammar meminta diri dan terus hilang disebalik pintu rumahnya. Aku terkedu. Jujur aku katakan, memang aku sedikit terganggu dengan khabar angin yang datang entah dari mana itu. Tapi aku tidak pernah menyalahkan Ammar, dia juga mangsa. Sungguh aku tak sangka ianya akan pergi sejauh ni. Lantas aku teringat pertemuanku dengan Tuan Rahman semalam.




“Saya rasa, cikgu lebih baik menjarakkan sikit diri cikgu dari Ammar.” kata Tuan Rahman.

“Tapi Tuan, saya memang tak ada sebarang hubungan yang macam tu dengan Ammar. Dia tu pelajar saya Tuan, dan dia tu lelaki, saya masih ada iman Tuan, saya tak akan buat benda-benda yang macam tu.” aku cuba menerangkan duduk perkara yang sebenar sekali lagi walau sudah aku perjelaskan segalanya tadi.

“Saya tahu cikgu, cuma benda ni perlu diredakan, saya tak mahu khabar angin ni terus tersebar dengan keakraban cikgu dan Ammar, saya tak mahu sekolah saya ni jadi huru hara sepertimana yang pernah berlaku dulu. Saya harap cikgu faham. Hanya ini sahaja jalan yang saya nampak.” ujar Tuan Rahman pula. Aku terdiam seribu bahasa.





Bersambung.....






p/s: Selamat hari raya Aidil Adha.....
p/s: tetiba rasa cam nak berniaga lah....eh!...



2 comments:

  1. Semakin menarik, terima kasih. Harap dapat ikuti next chapter... 😊😊😊

    ReplyDelete
  2. Terbaikkk.. Menarik n x sbr nak baca next chapter... Tema kaseh..


    ReplyDelete